Sunday, April 25, 2010

Keputusan Penuh Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan 2010

KEPUTUSAN PENUH

Kategori 1-10 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Tirmizi bin Haji Ali (Terengganu) : 99.19%

2- Muhammad Haikal bin Mohd Haris (Melaka) : 97.58%

3- Muhammad Naazir bin Sheik Alaudeen (Selangor) : 96.42%

Kategori 1-10 Juz (Perempuan)

1- Farihah binti Zulkifli (Wilayah Persekutuan) : 96.04%

2- Siti Hajar Nabilah binti Mohd Darha (Selangor) : 95.22%

3- Zainab binti Sapiuddin (Sabah) : 94.80%

Kategori 1-20 Juz (Lelaki)

1- Mohamad Iqram bin Niyaz Ahmad (Kelantan) : 97.80%

2- Mohd Fida’iy bin Zainal Abidin (Kedah) : 95.70%

3- Muhamad Khairul Razikin bin Abdul Razak (Sabah) : 95.08%

Kategori 1-20 Juz (Perempuan)

1- Farah Nabilah binti Aminudin (Selangor) : 95.75%

2- Khairunnisa binti Zaini (Johor) : 94.63%

3- Nur Amalina binti Azharuddin (Melaka) : 91.80%

Kategori 1-30 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Mujahid bin Salleh Sani (Wilayah Persekutuan) : 97.88%

2- Muhammad Hariz Syazwan bin Mohd Arifin (Kelantan) : 97.85%

3- Muhammad Labib bin Mohamad Anuar (Selangor) : 94.93%

Kategori 1-30 Juz (Perempuan)

1- Siti Nadhira binti Mohd Shafie (Selangor) : 97.33%

2- Mazian binti Abu Bakar (Wilayah Persekutuan) : 94.83%

3- Siti Farhana binti Zainudin (Melaka) : 86.75%

Sumber: http://abunuha.wordpress.com/2010/04/26/majlis-menghafaz-kebangsaan-di-melaka/

Mujahid Salleh johan hafaz al-Quran peringkat kebangsaan

MELAKA: Peserta Wilayah Persekutuan, Ahmad Mujahid Salleh Sani muncul johan kategori lelaki menghafaz Al-Quran dari juzuk 1 hingga 30 pada Majlis Menghafal Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-31 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini malam ini.

Bagi kategori perempuan, peserta dari Selangor Siti Nadhira Mohd Shafie muncul juara dengan markah 97.33 peratus menewaskan peserta dari Wilayah Persekutuan Mazian Abu Bakar di tempat kedua (94.83 peratus) dan peserta Melaka Siti Farhana Zainudin (86.75 peratus) di tempat ketiga.


Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Bagi kategori lelaki menghafaz dari juzuk satu hingga 20, peserta Kelantan Mohd Iqram Niyaz Ahmad muncul johan dengan memperolehi 97.80 markah.


Peserta dari Kedah Mohamad Fidaiy Zainal Abidin menduduki tempat kedua dengan markah 95.70 manakala peserta dari Sabah Muhamad Khairul Razikin Abdul Razak di tempat ketiga dengan markah 95.08.

Bagi kategori perempuan, peserta Selangor Farah Nabilah Amindin muncul johan dengan markah 95.75 peratus, manakala peserta Johor, Khairunnisah Zaini di tempat kedua (94.63 peratus) dan peserta Melaka Nur Amalina Azharuddin di tempat ketiga (91.80 peratus).


Bagi kategori lelaki menghafaz dari juzuk satu hingga 10, peserta dari Terengganu Ahmad Tirmizi Ali dipilih sebagai johan dengan pungutan markah 99.19 peratus mengatasi peserta dari Melaka Muhammad Haikal Mohd Aris di tempat kedua (97.58 peratus) dan peserta Selangor Muhammad Naazir Sheikh Alaudeen di tempat ketiga (96.42 peratus).


Bagi kategori perempuan pula, peserta dari Wilayah Persekutuan Farihah Zulkefli muncul johan dengan markah 96.04 peratus manakala peserta Selangor Siti Hajar Nabilah Mohd Darha sebagai naib johan (95.22 markah) dan peserta Sabah Zainab Sapiuddin di tempat ketiga (94.80 peratus). Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.


Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


Johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 30 membawa pulang pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan, manakala naib johan meraih wang tunai RM7,000, piala iringan dan sijil penyertaan dan tempat ketiga memperolehi wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan.


Johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 20 menerima pakej menunaikan umrah, wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala naib johan meraih wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan, dan tempat ketiga memperolehi wang tunai RM2,500, piala iringan dan sijil penyertaan.


Johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 10 menerima wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyerataan manakala naib johan meraih wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penyertaan, dan tempat ketiga memperolehi wang tunai RM2,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Majlis menghafaz yang bertemakan "Memantapkan Ukhuwah, Memperkasa Ummah" yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lepas disertai oleh 73 orang peserta yang berumur antara 7 hingga 25 tahun.

dipetik dari-Bernama

Peserta Terbaik Hafazan 2010

Ketekunan Membolehkan Ahmad Tirmizi Dipilih Peserta Terbaik Hafaz Al-Quran

MELAKA, 26 April (Bernama) -- Ketekunan mengulang kaji sekurang-kurangnya 10 juzuk Al-Quran setiap hari membolehkan Ahmad Tirmizi Ali dari Terengganu dinobatkan sebagai peserta terbaik lelaki pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-31 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, malam Ahad.

Beliau yang mula berjinak dengan menghafaz Al-Quran sejak berusia lima tahun berkata minat dan ketekunannya itu disemarakkan lagi dengan dorongan daripada kedua ibu bapa dan guru yang mengajarnya kaedah sistematik Al-Huffaz.

Ahmad Tirmizi, 25, graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir, muncul johan kategori menghafaz Al-Quran juzuk satu hingga 10 dengan memperolehi 99.19 peratus markah.

Bercakap kepada pemberita, beliau yang menjawat jawatan Pengurus Masjid Al-Hidayah di Kelana Jaya, Selangor berkata, beliau akan sentiasa menyebarkan ilmu menghafaz Al-Quran kepada masyarakat terutama generasi muda.

Menurutnya amalan lain yang dipraktikkan beliau bagi memudahkan menghafaz Al-Quran ialah beliau sedaya upaya mengambil makanan dan minuman daripada sumber halal.

Sementara itu peserta dari Selangor, Siti Nadhira Mohd Shafie, 17, yang dipilih sebagai peserta terbaik wanita pada majlis itu, mula menghafaz Al-Quran pada usia tujuh tahun.

Beliau berkata bapanya Mohd Shafie Mat Amin yang merupakan Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Ikhwan di Ampang, Selangor banyak memberi galakkan dan tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi seorang huffaz yang baik.

Siti Nadhira, pelajar jurusan Diploma Penterjemahan Al-Quran di Maahad berkenaan berkata beliau selalu membaca Al-Quran berulang kali selain daripada menunaikan solat hajat untuk memastikan ilmu itu tidak hilang begitu sahaja.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dipilih sebagai peserta terbaik," kata anak keenam daripada 13 adik beradik itu, yang sudah empat kali menyertai pertandingan tersebut sejak 2007.

Beliau yang bercita-cita menjadi pendakwah muncul johan bagi kategori menghafal Al-Quran juzuk satu hingga 30 dengan memperolehi 97.33 peratus markah.

Majlis menghafaz Al-Quran itu mempertandingkan tiga tahap iaitu tahap 1 (juzuk satu hingga 10), tahap 2 (juzuk satu hingga 20) dan tahap 3 (juzuk satu hingga 30), melibatkan 73 orang perserta yang berusia antara tujuh dan 25 tahun.

Johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 30 membawa pulang pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 20 menerima pakej menunaikan umrah, wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil penyertaan; manakala johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 10 menerima wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyerataan.

Hadiah kepada peserta disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.


dipetik dari:-bernama